Pelan alternatif

 

Kuala Lumpur: Pengguna kereta di Semenanjung Malaysia kini tidak perlu risau mengenai pelan sewa beli yang panjang untuk kenderaan masing-masing di mana mereka boleh menyewa kenderaan dalam tempoh lebih pendek melalui program MyMotor SmartLease by MyEG.

Program yang diperkenalkan oleh portal automotif, www.mymotor.my (MyMotor) itu membolehkan pengguna menggunakan kereta baru atau terpakai dalam tempoh terbabit melalui bayaran muka 10 peratus dan bayaran bulanan tetap bagi pelbagai model dan jenama kereta berdasarkan kemampuan kewangan untuk tempoh tiga atau lima tahun.

Ketua Pegawai Operasi MyMotor, Ivan Kuan berkata, MyMotor SmartLease adalah program yang bertujuan memberikan pengalaman memandu di bandar atau berhujung minggu di luar bandar kepada pengguna tanpa perlu risau beban bayaran penuh dan susut nilai kereta.

 

“Pinjaman kewangan kini menjadi semakin rumit dan kereta adalah aset yang susut nilai setiap tahun. Maka, kami menawarkan penyelesaian alternatif kepada pemilik kereta melalui program ini,” katanya.

Sepanjang tempoh sewa guna, pengguna tidak perlu risau mengenai cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan kerana ia diselaraskan MyEG Credit dan pengguna hanya perlu memulangkan kereta terbabit di akhir tempoh sewa guna.

Beliau berkata, pengguna juga mempunyai pilihan sama ada untuk memperbaharui sewa guna dengan kenderaan baru atau membeli kenderaan terbabit daripada MyMotor dan menukar program sewa guna kepada program sewa beli.

“Terma semasa hanya membenarkan kenderaan sewa guna ini dipandu di Semenanjung Malaysia dengan perbatuan tidak melebihi 25,000 kilometer setahun dan kami akan menyediakan semua kenderaan di bawah program ini dengan talian bantuan 24 jam berterusan setiap hari bagi sebarang kerosakan dan kemalangan.

“Ia tidak hanya terhad untuk kereta jenama tempatan sebaliknya turut menawarkan kereta jenama antarabangsa,” katanya.

MyMotor menawarkan dan menjual kereta terpakai serta baru yang dijamin berkualiti di samping menjadi pemudah cara bagi pembeli dan penjual kenderaan melalui kemudahan bantuan bagi tujuan jual beli disokong oleh pembekal perkhidmatan e-kerajaan terbesar negara ini iaitu My EG Services Berhad.

 

Sumber: Harian Metro