Liberalisasi tingkat saingan

MAS tidak melepaskan peluang perluas operasi besar-besaran ke China.

 

Kuala Lumpur: Sektor penerbangan rantau ASEAN dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh sederhana antara 2017 dan 2020 menerusi rangsangan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau sebanyak 4.8 peratus setiap tahun.

Selain itu, pertambahan bilangan syarikat penerbangan tambang murah di Asia Tenggara dilihat menjadi pemangkin dalam mempercepatkan pertambahan trafik penumpang udara, sekali gus mengurangkan kos perjalanan udara.

 

Ketua Penganalisis Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, perkara itu juga dilihat dapat mempertingkatkan capaian serta sambungan hubungan udara antara bandar di Asia Tenggara.

Beliau berkata, peningkatan pendapatan isi rumah dalam kalangan negara anggota ASEAN turut mendorong kepada kemampuan untuk menggunakan khidmat perjalanan udara.

“Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina antara negara yang akan mendapat peningkatan memberangsangkan.

“Malah, kehadiran pelancong dari negara China ke rantau ASEAN yang sentiasa bertambah setiap tahun turut menjadi penyumbang kepada perkembangan pesat,” katanya kepada Bisnes Metro.

Rajiv berkata, pelaksanaan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN iaitu sebahagian daripada agenda liberalisasi perdagangan dan pelaburan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) meningkat persaingan dalaman antara syarikat penerbangan rantau berkenaan.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai industri penerbangan Malaysia, beliau berkata, ia akan mengalami peningkatan jualan yang didorong pembelian tiket oleh kumpulan pendapatan kelas pertengahan serta jaringan ekonomi di Asia Timur.

Katanya, keputusan kerajaan menarik balik syarat visa untuk pelancong dari China juga akan meningkatkan trafik penumpang udara ke Malaysia dalam pengubahsuaian Bajet 2016 dianggap tepat pada masanya.

Baru-baru ini, Malaysia Airlines memperluaskan operasinya secara besar-besaran ke China dengan pembukaan lapan destinasi baru, 11 laluan baru serta 35 kekerapan tambahan penerbangan Malaysia-China bermula awal tahun ini.

 

 

Sumber: Harian Metro