Berita Terkini
Jan 2017 16

Harga minyak global naik, Brent cecah AS$55.55

SINGAPURA: Harga minyak meningkat pagi ini, disokong oleh dolar lebih lemah dan jangkaan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain akan mengurangkan output bagi membendung lambakan global....

SINGAPURA: Harga minyak meningkat pagi ini, disokong oleh dolar lebih lemah dan jangkaan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain akan mengurangkan output bagi membendung lambakan global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak berada pada AS$55.55 setong menjelang 0035 GMT, meningkat 10 cents daripada penutup terakhirnya. Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat sembilan cents pada AS$52.46 setong. 

Peniaga berkata, harga disokong oleh kelemahan dolar, yang menjadikan pembelian bahan api lebih murah bagi negara yang menggunakan mata wang lain di peringkat domestik, sekali gus berpotensi meningkatkan permintaan.

Selepas menghabiskan hampir separuh kedua 2016 meningkat, dolar susut 2.5 peratus nilainya berbanding sekumpulan mata wang utama lain sejak kemuncak awal Januari lalu.

Sumber: REUTERS

 

Language Melayu
Jan 2017 13

Hingga RM105b dijangka diraih tahun ini - SC

Oleh Mahanum Abdul Aziz  KUALA LUMPUR: Aktiviti meraih modal daripada pasaran ekuiti dan bon di Malaysia dijangka meningkat kepada antara RM90 bilion hingga RM105 bilion tahun ini. Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti...

Oleh Mahanum Abdul Aziz
 

 

KUALA LUMPUR: Aktiviti meraih modal daripada pasaran ekuiti dan bon di Malaysia dijangka meningkat kepada antara RM90 bilion hingga RM105 bilion tahun ini. Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh, berkata RM85 bilion dijangka dari terbitan bon dan sukuk, RM7 bilion dari tawaran awam permulaan (IPO), RM 7 bilion dari ekuiti. Beliau berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global, pasaran modal tempatan kekal kukuh disokong oleh infrastruktur pasaran yang stabil. Pada tahun lalu, hampir RM100 bilion dijana menerusi pasaran modal dengan RM87 bilion menerusi terbitan bon korporat dan IPO sementara bakinya menerusi pasaran sekunder. "Permulaan 2017 dilihat secara umumnya lebih positif. "Bagi Malaysia, asas ekonomi yang kukuh terus menyokong tinjauan pertumbuhan yang berterusan," katanya ketika ditemui pada Forum Dana Pelaburan Antarabangsa 2017 di sini, hari ini. Pada forum itu turut dilancarkan Pelan Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam lima tahun.

 

Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Jan 2017 11

Prospek ekonomi global lebih kukuh - Bank Dunia

WASHINGTON: Bank Dunia meramalkan ekonomi global secara keseluruhan akan tumbuh sedikit lebih cepat sedikit pada tahun ini selepas mencatatkan prestasi paling teruk tahun lalu sejak krisis kewangan 2008. Agensi yang mewakili...

WASHINGTON: Bank Dunia meramalkan ekonomi global secara keseluruhan akan tumbuh sedikit lebih cepat sedikit pada tahun ini selepas mencatatkan prestasi paling teruk tahun lalu sejak krisis kewangan 2008. Agensi yang mewakili pemberi pinjaman 189 negara semalam menyatakan, pertumbuhan global boleh berkembang pada kadar tahunan 2.7 peratus tahun ini. Itu adalah lebih rendah daripada ramalan bank itu pada Jun, iaitu pertumbuhan 2.8 peratus tahun ini, tetapi adalah lebih baik daripada pertumbuhan 2.3 peratus pada tahun lalu. Ekonomi global menghadapi beberapa halangan tahun lalu, daripada masalah ekonomi di China hingga kepada kegawatan pasaran kewangan.

"Kami berharap untuk melihat prospek ekonomi yang lebih kukuh," kata Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim. Laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan 2.2 peratus di Amerika Syarikat, meningkat daripada ramalan kira-kira 1.6 peratus pada 2016. Unjuran AS bagi 2016 adalah lebih rendah daripada unjuran pertumbuhan Jun iaitu 1.9 peratus, manakala prospek bagi tahun Ini adalah tidak berubah. Pada tahun-tahun sejak krisis kewangan 2008, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa berulang kali terbukti terlalu optimistik dalam ramalan mereka. Pertumbuhan AS pada separuh pertama tahun lalu adalah lemah apabila syarikat Amerika bergelut dengan kesan dolar yang kukuh, yang mengurangkan jumlah eksport. Kejatuhan besar harga minyak mencetuskan pengurangan mendadak dalam perbelanjaan pelaburan oleh syarikat tenaga. Di peringkat global, banyak negara membangun bergelut dengan kejatuhan harga komoditi yang mengurangkan pendapatan yang mereka terima daripada barangan terbabit. Menurut Bank Dunia, pengeksport komoditi dalam pasaran baru muncul dan negara membangun lain seharusnya menyaksikan ekonomi mereka berkembang sebanyak 2.1 peratus pada tahun 2017 selepas meningkat 0.3 peratus dan hampir tidak dapat dilihat pada tahun 2016. Unjuran baru itu menjangkakan harga komoditi akan pulih semula secara beransur-ansur serta Russia dan Brazil meneruskan pertumbuhan selepas mengalami krisis ekonomi tahun lalu. - AP

 

Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Jan 2017 10

Ringgit lebih tinggi ketika dibuka

 KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini, susulan minat belian sederhana. Pada jam 9.13 pagi, ringgit disebut kepada 4.4730/4770 berbanding dolar AS dari penutup semalam 4.4750/...

 

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini, susulan minat belian sederhana. Pada jam 9.13 pagi, ringgit disebut kepada 4.4730/4770 berbanding dolar AS dari penutup semalam 4.4750/4790. Peniaga berkata, ringgit lebih tinggi sedikit selepas dolar AS susut 0.1 peratus berbanding enam mata wang utama lain. "Dolar susut berikutan pengumuman Perdana Menteri Britain, Theresa May, hujung minggu yang tidak berminat kekal dalam Kesatuan Eropah (EU). "Pound sterling naik 0.2 peratus selepas pengumuman itu dan beberapa mata wang lain juga sama termasuk ringgit," katanya. Bagaimanapun, katanya, aliran menaik ringgit mungkin sementara selepas bakal Presiden AS, Donald Trump yang dijangka mengadakan sidang media apabila mengambil alih pucuk pimpinan pada 20 Januari, mengumumkan dasar baharu yang mungkin menjejaskan pasaran. Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan lebih rendah. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1138/1177 daripada 3.1044/1078 pada Isnin dan jatuh berbanding yen kepada 3.8547/8592 daripada 3.8222/8242. Unit tempatan itu susut berbanding pound British kepada 5.4351/4405 daripada 5.4349/4415 dan lemah berbanding euro kepada 4.7365/7411 daripada 4.7095/7146. - BERNAMA

 

Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Jan 2017 5

Liberalisasi tingkat saingan

MAS tidak melepaskan peluang perluas operasi besar-besaran ke China. Kuala Lumpur: Sektor penerbangan rantau ASEAN dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh sederhana antara 2017 dan 2020 menerusi rangsangan...

MAS tidak melepaskan peluang perluas operasi besar-besaran ke China.

 

Kuala Lumpur: Sektor penerbangan rantau ASEAN dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh sederhana antara 2017 dan 2020 menerusi rangsangan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau sebanyak 4.8 peratus setiap tahun.

Selain itu, pertambahan bilangan syarikat penerbangan tambang murah di Asia Tenggara dilihat menjadi pemangkin dalam mempercepatkan pertambahan trafik penumpang udara, sekali gus mengurangkan kos perjalanan udara.

 

Ketua Penganalisis Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, perkara itu juga dilihat dapat mempertingkatkan capaian serta sambungan hubungan udara antara bandar di Asia Tenggara.

Beliau berkata, peningkatan pendapatan isi rumah dalam kalangan negara anggota ASEAN turut mendorong kepada kemampuan untuk menggunakan khidmat perjalanan udara.

“Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina antara negara yang akan mendapat peningkatan memberangsangkan.

“Malah, kehadiran pelancong dari negara China ke rantau ASEAN yang sentiasa bertambah setiap tahun turut menjadi penyumbang kepada perkembangan pesat,” katanya kepada Bisnes Metro.

Rajiv berkata, pelaksanaan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN iaitu sebahagian daripada agenda liberalisasi perdagangan dan pelaburan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) meningkat persaingan dalaman antara syarikat penerbangan rantau berkenaan.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai industri penerbangan Malaysia, beliau berkata, ia akan mengalami peningkatan jualan yang didorong pembelian tiket oleh kumpulan pendapatan kelas pertengahan serta jaringan ekonomi di Asia Timur.

Katanya, keputusan kerajaan menarik balik syarat visa untuk pelancong dari China juga akan meningkatkan trafik penumpang udara ke Malaysia dalam pengubahsuaian Bajet 2016 dianggap tepat pada masanya.

Baru-baru ini, Malaysia Airlines memperluaskan operasinya secara besar-besaran ke China dengan pembukaan lapan destinasi baru, 11 laluan baru serta 35 kekerapan tambahan penerbangan Malaysia-China bermula awal tahun ini.

 

 

Sumber: Harian Metro

Language Melayu
Jan 2017 4

Ringgit dijangka pulih selepas ketidakpastian global reda

Oleh Mahanum Abdul AzizRINGGIT dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Presiden AS yang baharu, Donald Trump...

Oleh Mahanum Abdul Aziz

RINGGIT dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Presiden AS yang baharu, Donald Trump reda. - Foto hiasan
 

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Presiden AS yang baharu, Donald Trump reda, kata pakar ekonomi. Jangkaan kenaikan beberapa kali dalam kadar faedah AS mengukuhkan mata wang negara itu yang mana secara langsung memberi tekanan kepada mata wang tempatan. Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dalam tempoh terdekat, nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5. Namun, pihaknya kekal optimis bahawa ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini. Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai ringgit akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017. "Justeru, amat penting bagi pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa mapan, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan syarikat sama ada kecil mahupun yang besar. "Dalam hal ini, mungkin kerajaan perlu menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di pihak swasta yang lemah," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai pergerakan ringgit bagi 2017. Ringgit memulakan dagangan pada hari pertama 2017 dalam dagangan lemah berbanding dolar AS dengan terus mencecah paras rendahnya sejak 1998. Pada dagangan hari ini, ia ditutup pada paras 4.4900/4950 berbanding satu dolar AS. Faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan ringgit pada tahun ini. Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata prestasi ringgit yang lemah dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017. Bagaimanapun, beliau optimis ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding dolar AS selepas Trump memulakan tugas rasminya sebagai Presiden AS dan pasaran dapat menilai dasar yang dibentangkannya. "Kami masih mengekalkan unjuran ringgit akan berada pada paras purata 4.20 berbanding dolar AS bagi 2017," katanya. Kamaruddin berkata, pihaknya juga melihat langkah yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih cekap akan dapat membantu menstabilkan nilai ringgit.


Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Jan 2017 3

Harapan positif ekonomi negara 2017

Oleh Shahrizan SalianKUALA LUMPUR: Terdapat beberapa harapan positif yang boleh disandarkan bagi ekonomi Malaysia untuk tahun ini selepas ia melalui tempoh amat mencabar sepanjang tahun 2016. MIDF Amanah Investment Bhd...

Oleh Shahrizan Salian

KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa harapan positif yang boleh disandarkan bagi ekonomi Malaysia untuk tahun ini selepas ia melalui tempoh amat mencabar sepanjang tahun 2016. MIDF Amanah Investment Bhd berkata faktor berkenaan akan menjadi asas kepada keyakinannya bahawa ekonomi Malaysia mampu berkembang 4.3 peratus tahun ini, meningkat berbanding pertumbuhan 4.1 peratus yang diunjurkan untuk 2016. "Pertama, masih ada aktiviti perdagangan. Adalah jelas bahawa aktiviti perdagangan meningkat pada November lalu dan kami percaya momentum itu akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya suku pertama 2017.

"Kedua, harga komoditi dijangka lebih tinggi berbanding tahun lalu, secara puratanya. Ini adalah berita baik bagi syarikat minyak dan gas serta kerajaan, yang akhirnya akan memimpin kepada persekitaran pekerjaan yang lebih baik," kata firma penyelidikan itu di dalam satu nota ringkas. MIDF Amanah Investment berkata, walaupun pengguna akan merasai bebanan daripada harga petrol yang lebih tinggi, perlu diingat bahawa kerajaan ada mencadangkan satu sistem subsidi bahan api bersasar untuk kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah atau B40. "Justeru, kami percaya jika kerajaan berjaya menguruskan kutipan cukai pendapatan yang lebih tinggi, ada kemungkinan ia (subsidi bahan api bersasaran) akan dilaksanakan," katanya. Firma itu bagaimanapun mengingatkan terdapat beberapa isu yang perlu diperhatikan sepanjang tahun ini. Isu pertama, katanya adalah pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada awal tahun ini. "Hala tuju dasar yang disasarkan oleh Trump untuk memacu negara itu ke hadapan akan menjejaskan bukan hanya ekonomi global, malah juga hubungan geopolitik," katanya.

Isu kedua, kata MIDF Amanah Investment adalah hala tuju dasar monetari akan datang global yang akan ditetapkan oleh bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed). Katanya, unjuran asal Fed iaitu berlaku empat kali kenaikan kadar faedah tahun lalu adalah jauh tersasar apabila akhirnya hanya berlaku satu kenaikan pada bulan Disember. "Tahun ini, mereka menjangkakan akan berlaku tiga kali (kenaikan), dengan ada kemungkinan sangat tinggi ia boleh berlaku disebabkan oleh Trump. "Semakin tinggi kadar kenaikan faedah, maka ia berisiko untuk terus mengakibatkan aliran keluar (dana) dari pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia yang kemudiannya akan menjejaskan pasaran ekuiti, bon dan ringgit," katanya. MIDF Amanah Investment berkata, isu yang ketiga adalah Eurozone kerana ada beberapa pilihan raya yang akan diadakan di zon pakatan mata wang tunggal Eropah itu, tahun ini. Katanya, kemungkinan bahawa parti sayap kanan akan memenangi pilihan raya akan menyebabkan satu lagi perbalahan untuk negara terbabit untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dan Eurozone.

"Secara keseluruhan, 2017 sekali lagi akan menjadi tahun yang mencabar, walaupun bukanlah langsung tiada harapan yang boleh disandarkan. "Kami kekal dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.3 peratus tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan satu pemotongan kadar dasar semalaman (OPR), inflasi berada pada 2.8 peratus disebabkan harga petrol lebih tinggi dan harga purata minyak AS$50 (RM224.12) satu tong," katanya. INFO *2016 adalah tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia dan global secara keseluruhannya *Ia disebabkan oleh kelembapan aktiviti perdagangan global serta suasana tidak menentu yang berlaku daripada pelbagai dasar serta keputusan pilihan raya atau referendum

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/229785

Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Dis 2016 15

Pelan alternatif

 Kuala Lumpur: Pengguna kereta di Semenanjung Malaysia kini tidak perlu risau mengenai pelan sewa beli yang panjang untuk kenderaan masing-masing di mana mereka boleh menyewa kenderaan dalam tempoh lebih pendek melalui...

 

Kuala Lumpur: Pengguna kereta di Semenanjung Malaysia kini tidak perlu risau mengenai pelan sewa beli yang panjang untuk kenderaan masing-masing di mana mereka boleh menyewa kenderaan dalam tempoh lebih pendek melalui program MyMotor SmartLease by MyEG.

Program yang diperkenalkan oleh portal automotif, www.mymotor.my (MyMotor) itu membolehkan pengguna menggunakan kereta baru atau terpakai dalam tempoh terbabit melalui bayaran muka 10 peratus dan bayaran bulanan tetap bagi pelbagai model dan jenama kereta berdasarkan kemampuan kewangan untuk tempoh tiga atau lima tahun.

Ketua Pegawai Operasi MyMotor, Ivan Kuan berkata, MyMotor SmartLease adalah program yang bertujuan memberikan pengalaman memandu di bandar atau berhujung minggu di luar bandar kepada pengguna tanpa perlu risau beban bayaran penuh dan susut nilai kereta.

 

“Pinjaman kewangan kini menjadi semakin rumit dan kereta adalah aset yang susut nilai setiap tahun. Maka, kami menawarkan penyelesaian alternatif kepada pemilik kereta melalui program ini,” katanya.

Sepanjang tempoh sewa guna, pengguna tidak perlu risau mengenai cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan kerana ia diselaraskan MyEG Credit dan pengguna hanya perlu memulangkan kereta terbabit di akhir tempoh sewa guna.

Beliau berkata, pengguna juga mempunyai pilihan sama ada untuk memperbaharui sewa guna dengan kenderaan baru atau membeli kenderaan terbabit daripada MyMotor dan menukar program sewa guna kepada program sewa beli.

“Terma semasa hanya membenarkan kenderaan sewa guna ini dipandu di Semenanjung Malaysia dengan perbatuan tidak melebihi 25,000 kilometer setahun dan kami akan menyediakan semua kenderaan di bawah program ini dengan talian bantuan 24 jam berterusan setiap hari bagi sebarang kerosakan dan kemalangan.

“Ia tidak hanya terhad untuk kereta jenama tempatan sebaliknya turut menawarkan kereta jenama antarabangsa,” katanya.

MyMotor menawarkan dan menjual kereta terpakai serta baru yang dijamin berkualiti di samping menjadi pemudah cara bagi pembeli dan penjual kenderaan melalui kemudahan bantuan bagi tujuan jual beli disokong oleh pembekal perkhidmatan e-kerajaan terbesar negara ini iaitu My EG Services Berhad.

 

Sumber: Harian Metro

Language Melayu
Dis 2016 14

Malaysia rekod pelaburan RM150b Januari-September

MENTERI Perdagangan Antarabangsa Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed . - Foto Ikhwan Munir KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM150.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama...

MENTERI Perdagangan Antarabangsa Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed . - Foto Ikhwan Munir
 

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM150.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016. Walaupun jumlah berkurangan 3.7 peratus daripada projek bernilai RM156.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, ia dijangkakan mewujudkan 117,550 peluang pekerjaan. Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, keseluruhan prestasi pelaburan bagi seluruh 2016 boleh dikekalkan meskipun persekitaran global yang mencabar. Beliau berkata, pelaburan domestik menyumbang 74.8 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak RM112.8 bilion, manakala pelaburan asing selebihnya. "Sektor perkhidmatan menarik bahagian terbesar pelaburan diluluskan, menyumbang 71.9 peratus atau RM108.4 bilion, diikuti sektor pembuatan dengan pelaburan sebanyak RM40.7 bilion atau 27 peratus, manakala sektor utama dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM1.7 bilion atau 1.1 peratus," katanya. Menteri itu berkata, bagi tempoh Januari-September 2016, nilai pelaburan sektor perkhidmatan meningkat 26.2 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu. Beliau berkata, projek berkenaan dijangka mewujudkan 69,660 pekerjaan dengan lebih 95 peratus dalam perdagangan pengedaran, status Koridor Raya Multimedia, hotel dan pelancongan, pendidikan serta penubuhan global. Beliau bagaimanapun berkata, jumlah projek yang diluluskan susut 3.9 peratus kepada 3,203 berbanding 3,334 pada tempoh Januari-September 2015. Dalam sektor pembuatan pula, pelaburan yang diluluskan bagi sektor itu berkurangan 39 peratus bagi tempoh Januari-September daripada tempoh yang sama tahun lalu. Beliau berkata, jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan adalah dalam produk petroleum termasuk petrokimia (RM9.4 bilion), barangan elektronik dan elektrik (RM7.3 bilion), gas asli (RM3.7 bilion) dan pembuatan makanan (RM3.3 bilion). - BERNAMA


Sumber: Berita Harian

Language Melayu
Dis 2016 8

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini selari prestasi semalaman memberangsangkan di Wall Street, kata pedagang. Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.96 mata kepada 1,638.43 daripada...

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini selari prestasi semalaman memberangsangkan di Wall Street, kata pedagang. Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.96 mata kepada 1,638.43 daripada 1,632.47 penutup Rabu. Indeks itu dibuka 6.92 mata lebih tinggi pada 1,639.39. Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 181 berbanding 77, manakala 151 kaunter tidak berubah, 1,699 tidak didagangkan dan 24 yang lain digantung.

Sejumlah 83.09 juta saham bertukar tangan bernilai RM62.1 juta. Public Investment Bank Bhd dalam satu nota berkata, ia menjangka FBM KLCI dibuka lebih tinggi pagi ini selepas Wall Street ditutup pada rekod tertinggi dan indeks penanda aras saham Eropah ditutup pada paras tertinggi sejak hampir 11 minggu. "Keyakinan terhadap ekonomi AS mempengaruhi pasaran disebabkan keghairahan pasca pemilihan presiden belum lagi menunjukkan ia akan pudar," katanya. Sementara itu, RHB Research dalam satu nota berasingan menasihati pedagang mengekalkan kedudukan pendek, di bawah paras 1,636 mata. Indeks FBM EMAS menokok 34.54 mata kepada 11,429.37, FBMT100 naik 39.05 mata kepada 11,171.73, dan FBM EMAS Syariah menambah 32.77 mata kepada 11,965.59. FBM 70 menokok 39.62 mata kepada 13,036.79 dan FBM ACE naik 3.29 mata kepada 4,706.97. Berdasarkan sektor, indeks Perladangan naik 35.09 mata kepada 7,736.96 dan Perindustrian menambah 7.75 mata kepada 3,097.13, manakala Kewangan naik 53.8 mata kepada 14,333.5. Dalam kalangan kaunter utama, Public Bank menambah enam sen kepada RM19.70, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM6.86, Sime Darby naik tiga sen kepada RM8.14 dan IHH Healthcare mengukuh empat sen kepada RM6.44. TNB susut dua sen kepada RM13.96, manakala Maybank mendatar pada RM7.89. - BERNAMA

 

Sumber: Berita Harian

Language Melayu