Asas-asas

PasaraModal Islam            

Di Malaysia, Pasaran Modal Islam (ICM) mempunyai fungsi sama seperti pasaran modal konvensional. 

Dalam ICM, semua transaksi pasaran adalah menurut garis-panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dan tidak ada pertentangan di antaranya. 

Sekuriti patuh syariah turut  disenaraikan di Bursa Malaysia dan ianya terbuka kepada semua tanpa mengira agama atau bangsa. 

 

Secara amnya, semua instrumen dan institusi ICM hendaklah mematuhi prinsip-prinsip Syariah berikut:

Bebas daripada unsur riba’ (faedah);

Mematuhi prinsip-prinsip al bai’ (jual beli);

Terhindar daripada unsur kesamaran/ketidakpastian dalam sesuatu perjanjian;

Bebas daripada sebarang bentuk perjudian; dan

Larangan terhadap pengeluaran komoditi yang dilarang seperti arak, babi dan tembakau.

 

Antara produk patuh Syariah ialah:

Sukuk

Sukuk merupakan instrumen kewangan yang diterbitkan oleh syarikat atau badan-badan kerajaan (penerbit) bagi membiayai keperluan kewangan mereka.  Transaksi pendasar adalah berdasarkan pelbagai prinsip/ kontrak yang berlandaskan syariah. Pelabur Sukuk berhak ke atas pendapatan/ keuntungan yang terhasil daripada urus niaga asas.

Sekuriti patuh Syariah

Sekuriti patuh Syariah ialah sekuriti (saham biasa, waran dan hak langganan boleh pindah) syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang telah diklasifikasikan sebagai patuh Syariah dan dibenarkan untuk pelaburan, berdasarkan pematuhan syarikat  terhadap  prinsip-prinsip Syariah daripada segi perniagaan utama dan aktiviti-aktiviti pelaburan..

Dana Unit Amanah Islam

Dana unit amanah Islam ialah dana pelaburan kolektif yang menawarkan kepada pelabur peluang untuk melabur dalam pelbagai portfolio sekuriti patuh Syariah, sekuriti  pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang.

Amanah Pelaburan Hartanah Islam

Amanah pelaburan hartanah Islam atau I-REIT ialah instrumen pelaburan kolektif (biasanya dalam bentuk dana amanah) yang mengumpulkan wang daripada pelabur dan menggunakan modal ini untuk membeli, mengurus dan menjual hartanah. I-REIT memberi peluang pelaburan bagi mereka yang ingin melabur dalam hartanah melalui instrumen pasaran modal patuh Syariah.