Artikel

Bajet 2012: Bagaimana Ia Mempengaruhi Perancangan Kewangan Anda?

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Anda pasti sudah mengikuti pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.  Apa pandangan anda mengenai bajet yang dibentangkan?

Anda pasti sudah mengikuti pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.  Apa pandangan anda mengenai bajet yang dibentangkan? Pada masa rakyat Malaysia gusar memikirkan tentang kos sara hidup yang semakin meningkat, pengumuman bajet mengembalikan fokus ekonomi kepada rakyat. Bajet 2012 jelas memberi kesan kepada kita semua, termasuk kepada golongan seperti anda iaitu ibu  bapa. Oleh itu, kali ini kita akan membincangkan kaedah-kaedah perancangan kewangan yang boleh diselaraskan mengikut pengumuman Bajet 2012.

#1:     Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah

          Pengumuman ini pastinya menggembirakan ramai orang. Walaupun RM500  mungkin tidak begitu banyak, namun bagi seorang ibu atau bapa, RM500 sangat membantu kerana boleh digunakan untuk membeli lampin, makanan serta pakaian untuk si kecil. Malah, wang itu boleh juga digunakan untuk membeli barang keperluan penting seperti pakaian sekolah, peralatan sekolah dan buku-buku. Dalam membelanjakan wang tersebut, kami nasihatkan anda membeli barang-barang yang mustahak sahaja dan pastikan tidak membazir.  

#2:     Had pinjaman suami isteri untuk Skim Rumah Pertamaku ditingkatkan ke        RM400,000

          Impian untuk membeli rumah idaman anda kini semakin hampir. Dahulu, Skim Rumah Pertamaku hanya memberi pinjaman sehingga RM220,000 dan ini menghadkan pilihan anda, terutamanya suami isteri yang tinggal di kawasan bandar. Dengan peningkatan jumlah pinjaman ini, anda bolehlah mula merancang untuk berpindah ke rumah baru yang lebih besar dan selesa. Dalam memilih rumah idaman, ambil kira pelbagai faktor seperti lokasi, kemudahan awam, kesesuaian dengan jiran-jiran, jarak dari tempat kerja, saiz rumah, bilangan ahli keluarga dan paling utama, bajet anda. Walaupun mampu melangsaikan bayaran bulanan, tetapi jangan lupa bahawa anda mungkin perlu membayar caj perkhidmatan (jika membeli apartmen/ kondominium), yuran pintu, caj penyelenggaraan dan sebagainya.    

 

 

#3:     Pengecualian penuh duti impot dan duti eksais untuk kenderaan hybrid

          Anda dan keluarga ingin menjimatkan wang sambil memelihara alam sekitar? Tidak salah jika anda menimbang untuk membeli kenderaan hybrid! Kenderaan hybrid terbukti menjimatkan petrol (berbanding kenderaan menggunakan petrol), terutamanya jika dipandu dengan cermat. Tambahan pula, ia tidak mencemar alam sekitar pada kadar yang sama dengan kenderaan biasa. Jika anda dan keluarga kerap menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama, kereta hybrid mungkin pilihan terbaik. Pengumuman kerajaan untuk melanjutkan pengecualian duti import dan duti eksais sehingga 2013 memang tepat pada masanya. Ia membuatkan harga kereta hybrid lebih berbaloi dan menjadi mampu milik.

#4:     Pemansuhan yuran sekolah

          Langkah ini dianggap amat penting kerana buat pertama kali dalam sejarah , pendidikan diberikan secara percuma kepada rakyat. Ibu bapa yang mempunyai ramai anak bolehlah menarik nafas lega kerana beban yuran sekolah telah diringankan sedikit. Walaupun penjimatan ini tidaklah sebanyak mana (RM 24.50 untuk yuran pelajar sekolah rendah dan RM33.50 untuk yuran pelajar sekolah menengah), ia masih mampu menampung elaun harian anak yang bersekolah (lebih kurang RM2-3 sehari). Tambahan pula, pemansuhan yuran ini sangat dialu-alukan oleh keluarga kurang berada dan mempunyai ramai anak. Bayangkan jika seorang ibu bapa mempunyai enam orang anak, tiga antaranya bersekolah menengah. Jumlah penjimatan telah menjadi RM174. Banyak bukan? Dengan penjimatan tersebut, anda bolehlah menggunakannya untuk membeli barang-barang persekolahan atau menambahkan wang simpanan sedia ada.

 

Selain itu, anak-anak yang masih bersekolah (rendah atau menengah) bakal menerima wang saku sebanyak RM100 setiap seorang. Nasihatkan mereka untuk menabung duit tersebut dan membelanjakannya untuk membeli barang-barang yang perlu sahaja.

 

#5:     Sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam sektor swasta dinaikkan dari 12% ke 13% (untuk mereka yang bergaji kurang daripada RM5,000)

          Sekali imbas, berapalah sangat nilai 1% daripada kesuluruhan gaji kita? Akan tetapi, sebenarnya langkah ini sangat berguna kepada golongan pekerja sektor swasta untuk jangka masa panjang. Kami di SC sentiasa menekankan perancangan kewangan untuk persaraan dari awal, dan kenaikan sumbangan 1% dari KWSP ini akan banyak membantu dalam rancangan kewangan untuk persaraan anda. Mengikut kajian, 70 peratus menghabiskan wang persaraan dalam masa 10 tahun selepas bersara.  

 

 

#6:     Warganegara berumur 60 tahun dan ke atas dikecualikn caj pendaftaran pesakit luar di hospital dan klinik kerajaan     

          Ibu bapa yang tergolong dalam kategori “warga emas”, anda boleh menarik nafas lega kerana caj pendaftaran pesakit luar di hospital dan klinik kerajaan telah dimansuhkan! Dengan taraf perkhidmatan dan perubatan di klinik dan hospital kerajaan semakin meningkat dan berkualiti, inilah masanya untuk anda menjimatkan wang semasa berjumpa doktor. Dengan ini, anda tidak perlu lagi risau dengan kos perubatan serta tidak perlu terlalu bergantung kepada anak untuk menanggung kos setiap lawatan ke klinik atau hospital.

 

#7:     Tambahan bonus setengah bulan gaji (minimum RM500) dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

          Kami menyimpan yang terbaik untuk bahagian terakhir, iaitu bayaran bonus dan bantuan untuk kakitangan dan pesara kerajaan. Tidak kira berapa kadar bonus anda, sama ada di sektor awam atau persendirian, kami nasihatkan:

  • Simpan dahulu wang tersebut, kemudian barulah digunakan untuk perbelanjaan. Paling minimum anda dinasihatkan menyimpan 10 peratus daripada wang yang diterima;
  • Melaburkan sebahagian daripada wang itu dalam skim pelaburan yang sah. Kerajaan juga mengumumkan pelancaran Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia (SARA 1 Malaysia) dalam pembentangan bajet baru-baru ini. Anda yang berminat dengan skim ini juga perlu mempunyai pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM3,000 sebulan. Anda boleh menimbangkan untuk memohon pinjaman sebanyak RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun bagi melabur dalam skim ini;
  • Rancang dan uruskan kewangan anda dengan cermat; dan
  • Layari laman web InvestSmart (www.investsmartsc.my) untuk panduan menguruskan kewangan.

 

Selamat Tahun Baru 2012! 

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Adakah Kedudukan Kewangan Anda Kukuh?

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Adakah Kedudukan Kewangan Anda Kukuh?

Adakah Kedudukan Kewangan Anda Kukuh?

Ramai orang yang berasa kurang selesa apabila bercakap mengenai duit. Bagaimana dengan anda? Adakah anda berasa kurang senang dan risau apabila isu duit dibicarakan? Jika ya, ia mungkin kerana anda tidak tahu mengenai bagaimana menguruskan wang dan cara mencapai matlamat kewangan anda.

Sebenarnya, untuk menjadi orang yang bijak menguruskan kewangan, anda perlulah menetapkan matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. (Khusus, Boleh Diukur, Boleh Dicapai, Realistik, Ada Tempoh Masa)

 

Kedudukan Kewangan Anda yang Lengkap

Untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, anda perlu bertanggungjawab ke atas masa depan anda dan membina disiplin dan komitmen yang diperlukan dalam membuat perancangan untuk setiap peringkat umur. Kebanyakan orang hanya membuat perancangan untuk perkara-perkara yang sudah boleh dijangka seperti berkahwin, memiliki rumah dan kereta, serta membiayai pendidikan anak-anak mereka. Malangnya, ramai gagal menyedari bahawa mereka juga perlu bertanggungjawab untuk membuat perancangan bagi persaraan, penjagaan perubatan jangka panjang dan perancangan pewarisan mereka sendiri.

Jika anda mula berfikir dari sekarang mengenai bagaimana untuk menangani hal-hal ini pada masa akan datang, ia akan memastikan kedudukan kewangan anda kekal kukuh sepanjang hidup. Selaras dengan itu, pastikan berapa banyak sebenarnya wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda. Dalam merancang matlamat anda, pastikan ia KHUSUS (Apa, Kenapa dan Bagaimana).

Jangan lupa bahawa anda perlu membuat perancangan secara teliti mengenai berapa banyak wang yang anda mahu! Bak kata pepatah Inggeris, “jika anda tidak boleh mengukurnya, anda tidak boleh mengurusnya.” Anda perlu menetapkan matlamat kewangan supaya anda menjadi lebih berdisiplin, disamping anda akan berasa puas apabila mencapai matlamat tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan BOLEH DIUKUR dalam proses menetapkan matlamat anda. Anda boleh menetapkan pelbagai matlamat, contohnya membiayai persaraan dan pendidikan anak-anak anda.

Selain daripada mempunyai idea yang jelas mengenai perancangan kewangan yang kukuh, anda haruslah sedar tentang kedudukan kewangan anda pada setiap masa. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kewangan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit, serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Walaupun anda tidak perlu melakukan semua ini setiap hari, anda perlu membuatnya kerana ia akan memberikan gambaran yang lebih luas mengenai kedudukan kewangan anda. Maka, ketahui gambaran sebenar kewangan anda bagi memastikan matlamat kewangan yang BOLEH DICAPAI.

Mulakan Latihan Mengukuhkan Kewangan Anda

Seperti latihan litar di gim, anda perlu melalui beberapa siri latihan untuk memastikan anda mencapai kedudukan kewangan yang lengkap. Ini bermakna, anda bukan sahaja perlu mengetahui kedudukan kewangan anda, malah mengetahui bagaimana untuk mengawal kewangan anda.

Menurut Thomas J. Stanley dan William D. Danko dalam buku mereka bertajuk The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan berpendapat bahawa tidak kira berapa pendapatan anda, apa yang lebih penting ialah kekayaan anda. Para jutawan percaya bahawa mereka perlu “mengumpul duit, menyimpan duit dan mengembangkan duit tersebut”, bukan hanya “mengumpul duit dan membelanjakannya”. Mereka percaya bahawa cara untuk menjadi kaya adalah dengan mengurangkan penggunaan/ perbelanjaan dan mendapatkan nilai yang paling tinggi daripada semua pembelian mereka. Maka, untuk menambahkan kekayaan, anda juga perlu mengawal perbelanjaan anda.

Sebagai tambahan, anda perlu komited kepada pelan anda untuk melengkapkan mana-mana rejim latihan, dan ini memerlukan ketabahan dan ketekunan. Anda juga perlu mendapatkan sokongan daripada seluruh ahli keluarga kerana kebanyakan perancangan gagal jika ahli-ahli keluarga tidak memahaminya. Ia menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka sedar akan komitmen dan sasaran anda dalam mencapai matlamat kewangan tersebut. Dengan itu, pastikan matlamat kewangan dan sokongan orang lain terhadap anda adalah REALISTIK.

Lakukannya Sekarang!

Matlamat kewangan anda harus ADA TEMPOH MASA. Anda perlu tahu secara tepat bila anda ingin mencapai matlamat tersebut. Dengan adanya satu tarikh akhir mengenai bila anda ingin mencapai matlamat terbabit, ia akan memberi sasaran yang jelas untuk dicapai dan anda dapat mengetahui samada anda di landasan yang betul untuk mencapai matlamat itu. Tanpa satu tempoh masa, anda tidak akan merasa kepentingan untuk mula mengambil tindakan tanpa berlengah-lengah lagi.

Jadi apa yang anda tunggu lagi? Tetapkan satu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. hari ini dan mulakan perjalanan anda ke arah kedudukan kewangan yang kukuh!

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Periksa Kedudukan Kewangan Anda

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita tidak boleh terus bekerja selama-lamanya.

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita tidak boleh terus bekerja selama-lamanya. Samada kita masih mampu dari aspek fizikal atau mental, ia bukanlah persoalannya kerana menjelang umur 55, kebanyakan daripada kita akan menempuhi alam persaraan. Dalam situasi sebegini, kita perlu merancang bagaimana untuk terus menyara hidup dalam masa 20 tahun berikutnya kerana jangka hayat hidup seseorang ialah 75 tahun (berdasarkan laporan-laporan mengenai purata jangka hayat rakyat Malaysia).

Pernahkah kita terfikir bagaimana untuk meneruskan hidup selama 20 tahun lagi dalam keadaan selesa – setelah kesemua wang KWSP habis dibelanjakan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak serta melangsaikan pinjaman bank? Lebih teruk lagi, bagaimana pula keadaannya sekiranya wang simpanan yang tinggal semakin sedikit setelah kita membeli kereta mewah dan rumah idaman yang telah sekian lama diimpikan. Bagi mengatasi masalah seumpama ini, kita perlu berusaha menggandakan wang untuk memastikan kita dapat meneruskan hidup dalam keadaan selesa selepas bersara.

Bagi menyelesaikan masalah di atas, kita perlu mengetahui kedudukan kewangan sendiri dan cara-cara menilai kedudukan kewangan kita.

Langkah-langkah berikut dapat membantu anda melakukan ‘Pemeriksaan Kewangan’ anda.


Langkah 1 – Ujian Sumber-Sumber Pendapatan Utama
Untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa, anda perlu mengetahui aliran keluar dan masuk wang anda. Anda perlu mengenal pasti sumber-sumber utama pendapatan anda, iaitu wang yang masuk ke kocek anda seperti gaji, dividen, keuntungan modal, pendapatan dari hartanah yang disewakan, pembahagian daripada perniagaan, faedah daripada simpanan bank dan simpanan tetap.

Umumnya, jumlah pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu pendapatan yang diperolehi, pendapatan pasif dan pendapatan portfolio. Pendapatan yang diperolehi ialah wang gaji anda. Lazimnya, pendapatan ini dikenakan cukai yang lebih tinggi berbanding jenis pendapatan yang lain.

Pendapatan pasif pula ialah wang yang diperolehi daripada pelaburan hartanah dan pembahagian daripada perniagaan. Pendapatan jenis ini tidak memerlukan perhatian yang banyak daripada anda, namun ia mampu menjana aliran kewangan yang berterusan.

Pendapatan portfolio ialah wang yang diperolehi hasil daripada pelaburan anda dalam produk kewangan seperti dividen saham, pendapatan daripada bon dan juga pulangan daripada unit amanah. Ini juga merupakan sejenis pendapatan pasif yang tidak memerlukan penglibatan langsung dalam menjana pendapatan.


Langkah 2 – Ujian Sumber-Sumber Perbelanjaan Utama
Perbelanjaan ialah wang yang keluar dari kocek anda, iaitu wang yang perlu dibelanjakan untuk menampung gaya hidup seseorang. Contoh-contoh perbelanjaan termasuklah membayar bil kad kredit, ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan, bil elektrik, air, telefon, membeli barang runcit, cukai, perjalanan, hiburan dan pelbagai perbelanjaan peribadi yang lain.

Bagi mengetahui kedudukan kewangan anda, periksa berapa perbelanjaan yang telah anda buat. Salah satu sebab mengapa ramai orang tidak mempunyai simpanan yang cukup setelah bersara ialah kerana mereka tidak mengawal perbelanjaan mereka. Mereka tidak tahu berapa wang yang dibelanjakan setiap bulan. Apa yang pasti ialah mereka sentiasa kekurangan wang untuk menyara gaya hidup mereka. Gaji yang diperoleh setiap bulan tidak pernah mencukupi dan akibatnya, mereka terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan bulanan mereka.

Salah satu cara untuk mengetahui ke mana perginya wang anda ialah dengan mencatat setiap pembelian yang dibuat. ‘JOT-IT-DOWN’! – merupakan satu kaedah yang mengambil masa, tetapi dalam jangka masa panjang, ia merupakan satu amalan yang menguntungkan kerana anda akan dapat mengetahui aliran keluar wang anda. Sekiranya sukar untuk mencatatkan kesemua perbelanjaan anda, setidak-tidaknya, pastikan anda membuat catatan apabila membeli barang yang mahal. Ramai yang akan terkejut apabila mengetahui jumlah yang dibelanjakan untuk membeli sesuatu barang. Rujuk jadual di bawah untuk mengetahui cara-cara membuat penyata kewangan anda

 

2

 

Langkah 3 – Peraturan 90 Peratus

Ken Little, dalam bukunya yang bertajuk Personal Finance At Your Fingertips menyarankan agar anda menyimpan 10 peratus daripada pendapatan anda. Rujuk jadual di bawah dan anda akan mendapati bahawa pendapatan tolak perbelanjaan bersamaan Aliran Tunai Bersih (net cash flow) (A-B). Peraturan 90 peratus menetapkan bahawa Aliran Tunai Bersih (A-B) perlulah bersamaan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan anda (A).

Di Malaysia, tahap inflasi yang tinggi menyebabkan agak sukar untuk menyimpan 10 peratus daripada pendapatan anda. Tidak kira samada peratusan yang anda simpan ialah 5 peratus, 10 peratus ataupun 15 peratus daripada pendapatan anda, apa yang paling penting ialah anda mengamalkan tabiat menyimpan dan mula menanam sikap menyimpan wang anda.

Anda perlu mula menyimpan suatu hari nanti, kenapa tidak mula menyimpan hari ini?

PENYATA KEWANGAN SAYA

 

PENDAPATAN

RM

Pendapatan yang diperolehi

 

Gaji dan Bekerja Sendiri

 

 

 

Pendapatan Pasif

 

 

Hartanah (bersih)

 

Perniagaan (bersih)

 

Jumlah Pendapatan Pasif

 

Pendapatan Portfolio

 

 Faedah
 Dividen
Jumlah Pendapatan Portfolio

 

Jumlah Pendapatan

A

 

 

PERBELANJAAN

 

Bayaran Kad Kredit

 

Ansuran Pinjaman Perumahan

 

Ansuran Pinjaman Kenderaaan

 

Makanan dan pakaian

 

Cukai

 

Lain-lain

 

Jumlah Perbelanjaan

B

Aliran Tunai Bersih Bulanan

A - B

 

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Panduan Perancangan Kewangan Untuk Ibu Tunggal

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Sebagai ibu tunggal, anda mempunyai beban kewangan yang sama seperti orang lain - cuma anda tidak mempunyai pasangan untuk berkongsi bebanan tersebut.

Sebagai ibu tunggal, anda mempunyai beban kewangan yang sama seperti orang lain - cuma anda tidak mempunyai pasangan untuk berkongsi bebanan tersebut. Pinjaman perumahan, sewa beli, bil-bil, makan minum, perbelanjaan anak-anak dan sebagainya terpaksa ditanggung bersendirian. Keadaan ini amatlah merumitkan terutamanya di peringkat awal kerana dahulu anda berkongsi pendapatan dengan suami tetapi sekarang kesemua beban tersebut terletak di bahu sendiri. Kalau tidak betul caranya, mungkin anda akan mengalami masalah kewangan yang serius dan hidup dalam keadaan tertekan. Oleh yang demikian sebagai ibu tunggal, perancangan kewangan adalah sangat penting dalam kehidupan anda. Ia bakal menentukan masa depan anda dan lebih penting lagi, keluarga iaitu anak-anak yang disayangi. Berikut disenaraikan beberapa petua yang diharap dapat membantu anda mengurus wang dengan lebih bijak:

Panduan 1: Buat Bajet

Setiap orang, tidak kira sama ada bujang atau sudah berkahwin, perlu merancang bajet bagi pengurusan pendapatan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, sekiranya anda seorang ibu tunggal, keperluan membuat bajet adalah lebih besar lagi kerana pendapatan yang terhad perlu disalurkan kepada pelbagai perbelanjaan. Ibu tunggal perlu mempunyai perancangan belanjawan seisi rumah dan berdisiplin dalam mematuhi bajet tersebut. Senaraikan pendapatan anda dan bandingkannya dengan senarai perbelanjaan. Kenal pasti bagaimana anda boleh memastikan pendapatan melebihi perbelanjaan ataupun adalah seimbang.

 

Panduan 2: Buat Konsep “Bayar Diri Sendiri Dahulu”

Apabila membuat bajet, jangan lupa untuk menyediakan peruntukan setiap bulan untuk perancangan tabungan. Perancangan ini ada kala dipanggil sebagai "membayar diri sendiri dahulu". Kaedah ini sangat mudah untuk dibuat dan amat berkesan dalam memastikan kewangan anda stabil dan kukuh.  Jika anda bekerja makan gaji, potong sebahagian daripada gaji dan masukkan ia secara automatik ke mana-mana produk pelaburan yang bersesuaian. Kebanyakan majikan susah menyediakan skim potongan gaji automatik, jadi manfaatkan kemudahan ini untuk kesenangan anda di masa depan. Bagi yang bekerja sendiri pula, gunakan teknik yang sama tetapi anda perlu lebih berdisiplin kerana anda perlu membuat simpanan secara tetap setiap bulan secara konsisten. Tabungan ini seelok-eloknya perlu dimasukkan dalam pelaburan yang kurang berisiko kerana sebagai ibu tunggal, anda sahajalah yang menyara keluarga jadi anda tidak mahu kehilangan wang tersebut.

 

Panduan 3: Tingkatkan Celik Kewangan

Kesilapan terbesar yang mungkin dilakukan oleh wanita ialah kurang ilmu mengenai perkara-perkara yang membabitkan perancangan kewangan. Didiklah diri sendiri dengan menghadiri seminar dan bengkel termasuk yang membincangkan mengenai bijak melabur dan merancang kewangan. Ini untuk memastikan supaya anda berada di landasan yang betul ketika membuat keputusan kewangan yang berdasarkan maklumat. Selain itu, dengan adanya ilmu menguruskan wang, anda tidak akan mudah tertipu dengan skim cepat kaya, skim penipuan atau skim pelaburan tidak sah yang berleluasa sekarang ini.

 

Panduan 4: Sediakan Dana Kecemasan

Sebagai ibu tunggal, lebih penting bagi anda mempunyai dana kecemasan, iaitu simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama beberapa bulan. Sesetengah pakar kewangan mencadangkan supaya, selain tabungan sedia ada, sediakan juga simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Ini bertujuan menyediakan anda dana yang boleh digunakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, umpamanya kehilangan pekerjaan. Laburkan wang ini dalam pelaburan yang kurang berisiko atau unit amanah yang boleh anda tunaikan dengan mudah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Selain itu, anda juga boleh membeli insurans,  terutama insurans kesihatan dan kehilangan upaya. Dan sekiranya anda sumber utama yang menyara pendidikan anak-anak, pastikan insurans yang diambil mencukupi untuk membiayai pendidikan mereka.

 

Panduan 5: Mulakan Perancangan Persaraan

Mahu atau tidak, anda akan bersara atau tidak lagi mampu bekerja suatu hari nanti. Mulakan perancangan persaraan anda daripada sekarang dan jangan tunggu sehingga tempoh persaraan sudah dekat. Lagi awal anda bermula, lagi baik. Wanita patut mengambil kira jangka hayat mereka ketika membuat perancangan persaraan memandangkan ada statistik yang menyatakan bahawa wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang daripada lelaki.

Panduan 6: Didik anak mengenai wang

Sebagai ibu tunggal, tanggung jawab membesar dan mendidik anak-anak bukanlah mudah. Pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi. Seelok-eloknya, didik  anak anda mengenai wang, iaitu bagaimana wang boleh menjadikan seorang berjaya, mengajar kita membuat pilihan, dan menghalakan kita ke jalan yang salah jika tidak berhati-hati mengendalikannya. Anak-anak kepada ibu tunggal selalu mempunyai perasaan takut memikirkan apa akan jadi kepada mereka sekiranya ibu sudah tiada lagi. Terangkan kepada anak mengenai perancangan kewangan, pelaburan unit amanah, insurans, harta atau wasiat anda. Semua maklumat ini boleh memberi keyakinan kerana dapat mendidik anak-anak anda tentang kepentingan membuat perancangan kewangan untuk masa depan.

 

 

 

 

 

 

Kesimpulan

Sebagai ibu tunggal, penting untuk mempunyai perancangan kewangan supaya anda dan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik. Jika anda belum lagi mempunyai perancangan kewangan, sekaranglah masanya untuk bermula. Mulakan sekarang! Jangan berlengah lagi demi kepentingan mereka yang tersayang.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

DUIT: Bayar hutang atau simpan?

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Walaupun terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang, kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan dengan baik.

Walaupun terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang, kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan dengan baik. Statistik menunjukkan bahawa hutang kad kredit rakyat Malaysia berjumlah hampir RM25 bilion (setakat Mac 2010). Situasi ini sememangnya merisaukan dan isu kepentingan menyimpan duit dan membayar hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat.

Persoalannya, dengan pendapatan yang terhad, apakah kita patut menggunakan duit gaji untuk membayar hutang sedia ada atau wang itu sepatutnya disimpan? Mana satu perlu didahulukan? Yang mana satu patut menjadi keutamaan? Membayar hutang atau membuat simpanan?

Ini adalah keputusan penting yang harus dibuat kerana walaupun mempunyai akaun simpanan adalah satu cara untuk merancang masa depan, tetapi menjadi bebas hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan membayar hutang.

Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan

Sebelum anda membuat keputusan sama ada untuk meyimpan duit atau menjelaskan hutang, langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk pembelian rumah, pendidikan anak dan juga persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang yang baru ingin menyimpan duit atau sudah mempunyai simpanan yang banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan yang sewajarnya.

Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya  menghadapi masalah seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Denganini, situasi kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran seperti di atas. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan dalam keadaan yang terdesak sahaja dan bukannya untuk percutian, membeli barang kesukaan atau “kehendak-kehendak” yang lain.

Jadi berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan pakar kewangan mencadangkan bahawa anda menyimpan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat, tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah menggunakannya.

 


Langkah #2: Langsaikan Hutang Anda

Setelah mempunyai simpanan dalam dana kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah anda iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan sebahagian atau semua duit yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan untuk membayar hutang.

Bagaimana pula dengan simpanan? Ia mungkin bukan satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi duit simpanan apabila anda masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Dengan itu, anda sebenarnya kerugian lebih banyak duit daripada hutang tersebut berbanding duit yang diperolehi daripada akaun simpanan.

Contohnya, katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar faedah 18% setahun. Berapakah jumlah duit anda selepas lima tahun? Jawapannya adalah sifar – anda akan hilang kesemua simpanan dan masih lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800, manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.

Satu lagi pilihan adalah untuk melaburkan duit tersebut. Sekiranya produk pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh mengunakan keuntungan yang diperolehi untuk menjelaskan hutang sedia ada. Akan tetapi, ambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk pelaburan pilihan anda.

Walaupun memilih untuk melabur, matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai “hutang yang baik”.

Langkah #3: Fokus pada Masa Depan

Setelah menjelaskan hutang-hutang yang penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai prinsip “bayar diri sendiri dahulu”). Jika majikan membenarkan pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.

Setelah itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat duit berkerja untuk anda iaitu dengan melaburkan duit yang ada. Anda boleh menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali, sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat anda.

Dengan ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang. Ingatlah bahawa menyimpan duit, melabur dan menjelaskan hutang adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ianya bukanlah suatu yang mudah. Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang anda adalah kuncinya.

Bagi memudahkan pemahaman anda, berikut adalah sebuah illustrasi berkenaan proses tersebut.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Perancangan Kewangan untuk Bakal Ibu bapa

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Sama ada anda baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan.

Sama ada anda baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan. Berita tersebut sudah semestinya menggembirakan anda berdua, tetapi pada masa yang sama pelbagai persoalan turut bermain di fikiran. Kehidupan anda yang dahulunya dilalui berdua bakal melalui perubahan yang ketara.

Ketika menanti kehadiran si kecil, kebanyakan pasangan mengabaikan aspek perbelanjaan yang bakal mengiringi cahaya mata mereka. Hal-hal yang dahulunya tidak penting kini mula menjadi keutamaan, contohnya perbelanjaan untuk lampin, susu dan juga simpanan untuk pendidikan tinggi. Sekiranya anda mula membuat bajet dan pelan kewangan keluarga, besar kemungkinan tidak akan wujud banyak masalah berhubung pelbagai keperluan untuk anak yang bakal menyusul kelak.

Di akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk merancang kewangan berdasarkan keperluan terkini keluarga dengan mengambil kira kehadiran si kecil nanti.

Langkah-langkah mengurus kewangan keluarga anda

Langkah 1: Ketahui kedudukan kewangan anda

Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Akan tetapi, jangan abaikan komitmen kewangan yang sedia ada seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju dan lampin, tetapi juga untuk keperluan ibu sebelum dan selepas bersalin.

Langkah 2: Buat senarai semak

Senarai semak banyak membantu ketika membuat perancangan kewangan. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori, seperti peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain. Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum  disenaraikan. Jangan lupa  untuk memasukkan satu kategori, bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau lain-lain keperluan perubatan yang mungkin terlibat.

Langkah 3: Buat perbandingan harga barangan

Ketika membeli-belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza dan pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya, anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah. Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan-barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.

Langkah 4: Beli apa yang perlu sahaja

Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan,  lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan (KIV).

Langkah 5: Buat senarai permintaan (wish list)

Selalunya, ahli keluarga dan sahabat handai gemar membelikan hadiah untuk si kecil. Ada kalanya, disebabkan terlalu banyak barangan bayi yang terdapat di pasaran, mereka kurang pasti apa yang harus dibeli dan akhirnya membeli barangan seperti permainan atau lain-lain yang tidak begitu diperlukan. Oleh itu, buatlah satu senarai permintaan (wish list) untuk barangan yang anda mahu, bersama dengan harga dan tempat pembelian. Kemudian, sebarkan senarai tersebut melalui emel, blog-blog ataupun rangkaian-rangkaian sosial yang lain agar sahabat-handai anda boleh menghadiahkan barangan tersebut kepada anda.

Pada peringkat ini,  anda mungkin sudah mengetahi cara-cara berhadapan dengan isu-isu kewangan yang bakal dihadapi. Jangan lupa tentang perbelanjaan akan datang yang perlu ditanggung seperti pemeriksaan bulanan bayi, pusat asuhan atau penjagaan bayi. Anda juga sepatutnya mula memikirkan tentang pilihan pelaburan bagi simpanan pendidikan anak anda. Dengan memulakan simpanan pendidikan, anda bukan sahaja menjamin masa depan si kecil, malahan masa depan sendiri juga.

Dengan mengaplikasikan langkah-langkah di atas, adalah diharapkan anda dapat melalui pengalaman indah sebagai ibu dan bapa tanpa perlu risau tentang masalah-masalah kewangan yang mungkin menimpa. Menimang cahaya mata sudah semestinya satu pengalaman yang sangat manis. Rancang kewangan dari sekarang agar kelahiran si kecil memberikan lebih makna kepada kehidupan anda.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Menabung Sebagai Persediaan Bersara Bahagian 1

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
Menabung Sebagai Persediaan Bersara Bahagian 1Oleh Chris Gan

Menabung Sebagai Persediaan Bersara Bahagian 1

Oleh Chris Gan

Bersara boleh menjadi peringkat yang menyeronokkan dalam hidup seseorang, itulah sebabnya banyak orang mahu bersara awal. Ada yang merancang untuk bekerja hingga berumur 45 tahun, dan selepas itu mahu menghabiskan umur mereka dengan bersantai di pantai atau mengelilingi dunia. Untuk bersara awal,  sudah pasti bergantung kepada berapa banyak wang yang berjaya dikumpulkan (sepanjang tempoh bekerja) – dan ini biasanya bergantung kepada kebijaksanaan anda merancang persediaan untuk bersara.

Penting untuk memiliki perancangan asas persaraan sepanjang tempoh anda bekerja dan mengemas kini perancangan itu secara berkala, terutama apabila keadaan anda berubah – sama ada di segi kewangan atau lain-lain. Berapa pun usia anda, tidak terlambat merancang persaraan, tetapi memulakan lebih awal membantu mengelakkan sebarang tekanan yang tidak perlu. Dalam menabung untuk masa depan, anda perlu membuat pilihan antara berbelanja dan menabung. Sebagai contoh, jika sekarang anda berbelanja mewah, beli kereta sport yang mahal, sistem hi-fi yang canggih atau bercuti ke luar negara, mungkin tidak banyak wang yang tinggal dalam akaun bank ketika anda bersara nanti. Kecuali jika anda dapat mengumpul wang melalui pelaburan yang bijak, atau mempunyai apa-apa bentuk simpanan wajib yang lain untuk memberikan gaya hidup selesa apabila bersara.

Tujuh langkah mudah untuk mengira berapa banyak wang yang anda perlukan

1

Tentukan berapa tahun lagi sebelum anda bersara

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah menentukan berapa tahun lagi yang ada untuk mencapai perancangan bersara anda. Lebih jelas lagi, ada berapa tahun lagi sebelum anda bersara – ini mungkin umur yang anda rancang untuk bersara (misalnya, 45 tahun), atau mesti bersara (misalnya, pada umur 55 atau 58 dalam perkhidmatan awam), ditolak umur anda sekarang.

Ambil contoh Jamil, sekarang ini berusia 31 tahun dan merancang untuk bersara pada usia 55. Jumlah tahun yang masih ada sebelum tiba tempoh bersara ialah:

Umur yang dirancang untuk bersara

:

55 tahun

Tolak umur sekarang

:

31 tahun

Jumlah tahun yang ada sebelum bersara

:

24 tahun

 

2

Tentukan pendapatan yang diingini selepas bersara

Langkah selanjutnya ialah memastikan berapa banyak wang yang diperlukan apabila bersara. Sukar untuk diramalkan tetapi tidak mustahil untuk membuat anggaran. Anda boleh membuat anggaran dengan mengambil kira perubahan yang anda rancang dalam corak perbelanjaan dan bagaimana (dan di mana) anda bercadang untuk tinggal selepas bersara. Sebahagian daripada perbelanjaan anda mungkin lebih rendah, contohnya, perbelanjaan yang berkaitan dengan kerja (seperti minyak kereta atau tambang bas), pakaian dan rumah. Sebaliknya, perbelanjaan lain mungkin meningkat: contohnya, perbelanjaan melancong, kerana anda mempunyai banyak masa lapang. Pada masa yang sama, perbelanjaan perubatan anda mungkin meningkat, kerana semakin umur meningkat anda semakin terdedah kepada penyakit. Lazimnya dicadangkan bahawa anda memerlukan lebih kurang 60% hingga 70% daripada jumlah pendapatan tahunan terakhir anda.

Dalam contoh yang diberikan, andaikan bahawa pendapatan terakhir Jamil ialah RM200,000 setahun. Oleh itu, pendapatan tahunan yang diperlukan selepas bersara ialah RM120,000 (iaitu 60% daripada RM200,000), dikira seperti ini: 0.6 X RM200, 000 = RM120,000

Setelah membuat pengiraan, kita perlu menganggarkan berapa lama Jamil memerlukan pendapatan selepas bersara. Berapa tahun pendapatan ini diperlukan menunjukkan jangka masa Jamil dijangkakan hidup. Di Malaysia, menurut maklumat terkini daripada Jabatan Perangkaan, purata jangka hayat bagi lelaki ialah 70 tahun manakala bagi wanita, 75 tahun.

Katakanlah Jamil dijangkakan hidup sehingga berumur 80 tahun, dia memerlukan 25 tahun pendapatan bersara (dari usia 55 ke atas).

3

Mengira pendapatan bersara yang disesuaikan dengan inflasi

Inflasi adalah antara faktor paling penting diambil kira dalam perancangan bersara. Inflasi mengikis kuasa beli wang simpanan untuk persaraan, oleh itu ia perlu diambil kira dalam perancangan yang anda buat. Anda perlu menentukan berapa banyak pendapatan persaraan anda selepas disesuaikan dengan inflasi.

Dalam contoh yang diberikan, kita tahu bahawa nilai semasa pendapatan persaraan Jamil ialah RM120, 000 (daripada Langkah 2), dan dia mempunyai 24 tahun sebelum bersara (daripada Langkah 1). Kadar purata inflasi di Malaysia (dari 1990 hingga 2001) ialah 3.3% – lihat carta di bawah. Andaikan bahawa kadar purata inflasi bagi tempoh 24 tahun akan datang ialah 5% setahun.

Sumber: Jabatan Perangkaaan

Pendapatan persaraan RM120,000 hari ini pada kadar purata inflasi sebanyak 5% memerlukan Jamil mempunyai pendapatan yang disesuaikan dengan inflasi sebanyak RM387, 011 setahun selama 24 tahun. Ini boleh dikira sebagai:

FV

=

RM120, 000 x FVIF (24 tahun, 5%)

 

=

RM120, 000 x 3.225

 

=

RM387,000

FV

=

Nilai akan datang

FVIF

=

Faktor faedah nilai akan datang ( lihat Jadual 1)

Nota: Bahagian 2 dan akhir artikel ini akan disiarkan bulan hadapan. Dalam bahagian tersebut, anda akan diajar cara mengira jumlah tabungan yang diperlukan untuk menghadapi persaraan dan berapa banyak wang perlu disimpan setiap tahun.


Chris Gan ialah ahli Financial Planning Association of Malaysia (FPAM)dan Pengarah Eksekutif S-Eleven Systems Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan perisian khusus perancangan kewangan, dan memberikan khidmat runding cara yang strategik dan bebas kepada industri perancangan kewangan.

 

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

10 Panduan Berjimat Cermat untuk Pelajar Kampus

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
10 Panduan Berjimat Cermat untuk Pelajar Kampus

10 Panduan Berjimat Cermat untuk Pelajar Kampus

Menjadi seorang pelajar kampus sudah tentunya bukan tugas mudah. Selain mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan, anda juga perlu menguruskan wang agar dapat menjalani hidup sebagai seorang pelajar dengan aman dan tenang. Sekiranya gagal menguruskan wang dengan bijak, ia boleh menganggu tumpuan dan seterusnya memberi kesan kepada pembelajaran anda.

Sebenarnya, pengurusan kewangan yang baik boleh dimulakan hanya dengan mempraktikkan teknik-teknik mudah menyimpan wang. Securities Commission Malaysia (SC) ingin berkongsi 10 panduan berjimat cermat untuk pelajar kampus. Setelah selesai membaca artikel ini, anda boleh mempraktikkan panduan-panduan yang diberi dan mengaplikasikannya mengikut keadaan kewangan anda selaku seorang pelajar.

Panduan 1: Amalkan Peraturan 10 Peratus
Secara amnya, Peraturan 10% bermakna anda perlu menyimpan 10% daripada wang yang anda miliki setiap bulan. Contohnya, jika anda mempunyai RM500 setiap bulan, simpanlah RM50. Apabila menerima duit pinjaman PTPTN, MARA, biasiswa atau elaun daripada ibubapa setiap bulan, pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah yang diperolehi. Wang ini boleh dijadikan simpanan dan pelaburan anda pada masa depan. Amalan ini juga akan mendidik anda untuk menjadi lebih konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan wang pada masa akan datang.

Panduan 2: Wujudkan Dana Kecemasan
Sebagai pelajar, ada masanya akan berhadapan dengan kejadian yang tidak dijangka dan ianya memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sebagai contoh, anda boleh jatuh sakit dan perlu dibawa ke hospital, kenderaan atau komputer mungkin rosak dan perlu diperbaiki, serta isu-isu kewangan yang lain. Sekiranya anda tidak mempunyai dana kecemasan, anda pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah. Namun, dengan adanya dana kecemasan, anda tidak perlu runsing dan berhutang dengan orang lain kerana anda mempunyai wang simpanan sendiri. Tetapi ingat: Dana kecemasan harus digunakan untuk KECEMASAN SAHAJA!

Panduan 3: Amalkan tabiat melabur
Menyimpan wang adalah tabiat yang baik tetapi anda perlu melaburkan duit tersebut agar mendapat pulangan yang lebih. Amalkan tabiat melabur secepat yang mungkin supaya anda boleh mendapat pulangan yang maksimum daripada pelaburan. Rebutlah peluang daripada kuasa pengkompaunan dengan melaburkan wang anda dalam produk pelaburan yang sesuai. Sebelum memulakan pelaburan, lakukanlah kaji selidik yang mencukupi dengan membaca prospektus, laporan kewangan dan laporan tahunan, majalah perniagaan dan lain-lain. Dalam memilih produk pelaburan yang paling sesuai dengan tahap risiko, matlamat kewangan dan bajet yang ada,anda perlu mengenali sedikit sebanyak tentang konsep pelaburan.

Panduan 4: Buat perbandingan harga semasa membeli-belah
Dengan membandingkan harga dan mencari tawaran yang terbaik, anda mampu menjimatkan wang setiap kali membeli-belah. Membandingkan harga juga mengajar kita untuk menjadi lebih berhati-hati dan bersabar semasa membeli barang. Sebagai seorang pembeli yang bersabar dan berhati-hati, anda tidak akan terdorong oleh nafsu ketika membeli, malah akan sentiasa berusaha mendapatkan nilai yang terbaik untuk wang anda!

Panduan 5: Potong kad kredit anda
Kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis berusia 30 tahun ke bawah. Statistik ini antara lain menggambarkan bahawa pelajar kolej dan golongan dewasa yang baru mula bekerja mewakili 50% daripada rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap. Tidak kiralah jika anda memilki kad kredit sendiri atau diberi kad kredit oleh ibubapa, tanyalah diri sendiri: “Perlukah saya memiliki kad kredit?” Ingat! Jadilah pengguna kad kredit yang bertanggungjawab kerana anda (atau ibubapa anda) yang perlu membayar hutangnya nanti!

Panduan 6:  Kurangkan bil elektrik anda
Sedar atau tidak, tidak ramai yang mengambil berat isu penggunaan elektrik. Memasang lampu walaupun tiada orang di rumah merupakan suatu perkara lazim yang dipandang remeh walaupun ia merupakan satu pembaziran. Sebenarnya,apabila anda menjimat elektrik, anda juga menjimatkan wang. Antara perkara yang boleh dipraktikkan ialah mengekalkan kelajuan kipas pada tahap sederhana, menggunakan lampu jenis jimat tenaga, serta mengurangkan tahap kecerahan skrin komputer.

Panduan 7: Jadilah pelajar yang bijak
Sebagai pelajar yang bijak dalam pelajaran, anda juga perlu bijak berbelanja. Cetak tugasan anda di kedua-dua belah muka surat kertas, beli isian semula mesin pencetak dan bukannya kartrij pencetak, pinjam buku rujukan daripada pelajar senior/rakan/perpustakaan, sewa rumah bersama kawan-kawan dan makanlah di kampus. Secara amnya, perkhidmatan dan kemudahan di kampus seperti sewa asrama, fotokopi dan lain-lain adalah lebih murah, jadi ambillah kesempatan ini! Lebih elok lagi, kumpulkan kawan-kawan anda dan carilah peluang mendapatkan diskaun apabila membeli barang (buku, alat tulis, dll) secara pukal di kampus.

Panduan 8: Gunakan kad pelajar anda
Kad pelajar adalah salah satu instrumen yang sangat membantu dalam usaha anda menyimpan wang. Anda boleh menggunakannya untuk mendapat diskaun ketika menonton wayang, membeli buku, menaiki LRT, melayari Internet, bercuti, makan, bersukan dan sebagainya. Bayangkan penjimatan yang anda dapat!

Panduan 9: Gunakan pengangkutan awam
Menggunakan pengangkutan awam biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding memandu kereta. Jika kurang minat menaiki pengangkutan awam, kongsi kereta bersama rakan-rakan! Fikirkan juga tentang membeli motosikal atau basikal supaya boleh menjimatkan wang untuk petrol. Sentiasa merancang perjalanan mengikut jadual dan keperluan sahaja. Sebagai contoh, jika destinasi yang dituju tidak jauh dan cuaca mengizinkan, apa salahnya jika berjalan kaki berbanding memandu kereta?

Panduan 10: Gunakan Internet untuk membuat panggilan
Daripada menghabiskan wang untuk menambah nilai telefon bimbit, apa kata anda membuat panggilan melalui Internet? Anda bukan sahaja dapat berbual sepuas-puasnya, malah tidak perlu membayar walau sesen pun (jika mengunjungi “wi-fi hotspot” percuma). Sekiranya terdesak atau terpaksa menggunakan telefon bimbit, jangan lupa bahawa lebih murah untuk menghantar mesej (SMS) berbanding membuat panggilan.

Kesimpulannya, kehidupan di kolej atau universiti bukanlah sekadar mentelaah pelajaran semata-mata. Selaku pelajar, anda juga akan menerokai pelbagai aspek kehidupan dan akan menempuhi pelbagai pengalaman yang mampu mencorak kehidupan anda kelak.Anda semestinya tidak mahu masalah-masalah berkaitan wang menjadi isu yang membebankan anda di kampus. Dengan mempraktikkan “10 Panduan” yang telah diberikan, anda sepatutnya boleh menikmati kehidupan kampus yang bebas daripada tekanan, seronok, dan mengujakan!

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

5 Cara Asas Mendidik Anak Mengenai Pengurusan Kewangan

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
5 CARA ASAS MENDIDIK ANAK MENGENAI PENGURUSAN KEWANGAN

5 CARA ASAS MENDIDIK ANAK MENGENAI PENGURUSAN KEWANGAN

Sebagai ibu bapa, tugas memastikan anak anda berada di landasan yang tepat ke arah pengurusan kewangan bijak adalah sangat penting. Semuanya bermula dengan memastikan mereka lebih memahami dan menghargai nilai wang itu sendiri. Malahan, pendidikan yang diberikan sekarang bakal menjadi panduan ketika anak anda dewasa kelak. Terdapat pelbagai cara untuk membantu anak-anak kita memahami tentang wang. Ingat, setiap kanak-kanak adalah unik dan mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza bagi memastikan pembelajaran mereka berjaya.

 

Setelah membaca artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti 5 cara yang boleh digunakan dalam mendidik anak mengenai wang.

 

  1. Bawa anak pergi membeli barangan dapur

Mungkin anda sering membeli-belah bersama anak-anak. Tetapi untuk sesi berikutnya, apa kata anda beri peluang kepada mereka untuk membuat urusan membeli-belah sendiri? Cuba berikan sedikit wang kepada mereka, RM 10.00 misalnya, seterusnya cabar anak-anak untuk membeli sebanyak mungkin barangan dengan wang yg diberikan. Untuk menjadikan ia lebih sistematik, anda boleh senaraikan jenis barangan makanan asas yang diperlukan oleh “bank makanan”, seperti susu, roti dan sebagainya.

 

Satu cara lagi adalah dengan membiarkan anak yang membuat pembelian barangan dapur, sambil membantu mereka dalam membuat pengiraan kos dan sebarang keputusan pembelian. Pastikan anda memberi ganjaran jika mereka memilih harga barangan yang lebih berpatutan!

 

2. Libatkan anak-anak anda dalam pengurusan bajet

Jika anak anda sudah cukup dewasa untuk memahami konsep bajet keluarga, apa kata beri peluang untuk mereka bertanggungjawab dalam menguruskan mana-mana seksyen dan kategori dalam bajet tersebut. Mereka boleh bermula dengan memilih untuk menguruskan satu kategori saja terlebih dahulu. Kategori yang dipilih mestilah dalam kategori perbelanjaan yang fleksibel, di mana kita mempunyai kawalan terhadap berapa nilai yang mesti dibelanjakan dalam sebulan, contohnya bajet hiburan atau barangan dapur.

Biarkan anak anda membuat sedikit kajian untuk mencari harga yang paling berpatutan, dan biarkan mereka meletakkan bajet di tempat yang dirasakan paling sesuai. Tidak mengapa jika mereka membuat kesilapan seperti terlebih belanja dan memilih barangan mahal, kerana ini akan memberikan peluang untuk mendidik mereka tentang perbezaan barangan keperluan dan kehendak, seterusnya menyelesaikan permasalahan apabila berdepan pelabagai pilihan barangan di pasaran.

 

3. Tunjuk cara menggunakan applikasi bajet di Internet

Internet menawarkan pelbagai aplikasi atas talian seperti bagaimana membuat bajet secara mudah, sama ada secara percuma atau berbayar. Contoh-contoh applikasi web adalah seperti:

 

Anda juga boleh mengajar anak menggunakan aplikasi kalkulator kewangan peribadi secara online. Jika mereka suka bermain permainan seperti “Angry Birds”: dan “Fruit Ninja” di telefon pintar atau komputer tablet, pastinya permainan membuat bajet akan kelihatan seperti satu lagi permainan yang menyegarkan minda mereka.

Melalui aplikasi web ini mereka boleh memulakan pengiraan bajet mereka sendiri. Paling utama, belajar untuk mengira perbelanjaan adalah jalan yang terbaik bagi memastikan mereka mampu menguruskan bajet mereka sendiri nanti.

 

4. Bawa anak anda ke bank

Sudahkah anak anda mempunyai akaun simpanan? Jika tidak, apa tunggu lagi? Bawa anak ke bank dan mulakan sekarang. Selepas membuka akaun, sebagai permulaan, terangkan bagaimana dividen yang diperolehi membuatkan duit mereka berkembang. Bagi menarik minat mereka tentang menyimpan, belikan mereka tabung yang menarik pandangan mereka. Malahan, hampir setiap bank menghadiahkan tabung kepada kanak-kanak yang membuka akaun simpanan atau pelaburan bersama mereka.

Apabila penyata akaun diterima, tariklah perhatian anak-anak anda dengan menekankan betapa pelaburan mereka sudah makin meningkat, terima kasih di atas magis kuasa pengkompaunan. Apabila sahaja ia sudah menjadi tabiat, tabung merupakan perkara pertama yang bermain di kepala anak anda apabila diberikan duit.

 

5. Biarkan mereka membuat kesilapan, asalkan mereka belajar

Jika anak anda membuat kesilapan dalam pengurusan kewangan, biarkanlah mereka. Ini kerana, jumlah yang terlibat selalunya kecil sahaja. Contoh, jika dia mahukan satu alat permainan dan berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk membelinya, jangan halang dia daripada membelinya. Ini supaya, dia akan dapat merasai bagaimana perasaan tidak mempunyai duit yang cukup untuk perkara-perkara lain.

Selepas itu, cuba tanya anak anda sama ada pilihan membelanjakan simpanan  mereka tepat atau tidak. Anda akan terkejut, melihat bagaimana cepat pertumbuhan  pemikiran rasionalnya, dan akhirnya anak anda akan bijak memilih keputusan dalam berbelanja.

 

Kesimpulan

Bilamana kita berbincang tentang mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang, kita kena percaya bahawa tiada istilah terlalu awal untuk bermula. Dengan mengajar mereka untuk menghargai nilai wang, anda akan membimbing mereka menjadi seseorang yang sangat bijak menguruskan wang di masa hadapan.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].

Kejayaan Kewangan 2011: Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S.

Read More" data-layout="standard" data-action="like" data-show-faces="false" data-share="true">
 Kejayaan Kewangan 2011: Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S.

 

Kejayaan Kewangan 2011: Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S.

          2011 telahpun tiba. Bagaimana prestasi kewangan anda pada tahun lepas? Adakah anda berjaya mengharungi dan menangani segala masalah kewangan yang dihadapi? Bagaimana pula dengan prestasi pelaburan anda?  Tidak kira bagaimana keadaan kewangan pada tahun lepas,  tahun 2011 sepatutnya memberikan anda peluang baru untuk merancang kewangan dengan lebih bijak.

          Artikel kali ini akan membincangkan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk anda  mencapai kejayaan pengurusan kewangan. Formula S.E.B.E.L.A.S. ini direka khusus membantu anda menetapkan matlamat kewangan sempena tahun baru ini:

          S – Simpan untuk diri (dan keluarga) anda dahulu! Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, pada tahun 2011, berikan keutamaan kepada  menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu. Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.

          E – Elak pembaziran (Economise) – Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli barangan bayi yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan si comel. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan “house brand” yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.

          B – Bajet – Buat bajet, tulis dan patuhinya! Sesetengah ibu bapa gemar membuat bajet secara kasar atau “dalam kepala” sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.

          E – Elak emosi semasa membuat keputusan berkaitan kewangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan (contohnya mendapat bonus). Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda- kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.     

          L – Libatkan si kecil – Sering kali, ibu bapa tersalah anggap bahawa anak kecil tidak mampu memahami konsep kewangan. Tanggapan ini tidak tepat kerana sedar atau tidak, biasanya si kecil memang tahu meniru cara dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, libatkanlah anak-anak dalam hal-hal kewangan anda. Salah satu cara mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membawa anak-anak ketika menjalankan transaksi kewangan. Contohnya, bawa anak-anak bersama apabila anda pergi ke bank. Dengan cara ini, anda dapat membentuk tabiat menabung dan menyimpan daripada usia muda lagi.         

          A – Awasi skim pelaburan tidak sah. Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.         

          S -  Sediakan dana kecemasan – Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah/kemalangan yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan untuk mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan  dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup kita tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.

Kesimpulan

          Kejayaan dalam pengurusan kewangan 2011 bergantung kepada usaha anda! Jika anda perlukan sedikit inspirasi, lihatlah pasangan  yang tersayang, dan jika masih belum mendapat ilham, lihatlah muka si comel anda. Lakukanlah yang terbaik untuk diri, pasangan dan keluarga demi mencapai kejayaan dalam pengurusan kewangan anda. Semoga tahun 2011 memberikan anda sekeluarga keadaan kewangan yang lebih stabil.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: [email protected].